TEATER BANGSAWAN DEWA KENCANA MEMARTABATKAN SENI SILAT DAN WANITA

10:52 am SHARIFFUDIN AZHAR OMAR 0 Comments


Bangsawan adalah sejenis opera Melayu tradisional atau teater yang dilakukan oleh sekumpulan ahli dan disertai dengan muzik dan kadangkala tarian. Ia tersebar luas dalam bidang budaya Melayu di Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei. Menurut sejarah, bangsawan mula bertapak di Malaysia pada tahun 1880-an di Pulau Pinang seterusnya berkembang ke seluruh negara hingga ke Indonesia. Bangsawan di Pulau Pinang ketika itu banyak dipengaruhi dari teater bergerak bernama Wayang Parsi atau Mendu dari India. Kumpulan ini melakukan cerita-cerita menggunakan Bahasa Hindi dan pelakonnya dibawa dari India.

Bangsa diambil daripada bahasa Sanskrit iaitu 'vamsa' yang membawa maksud "keluarga" atau "dinasti". Perkataan "wan" berasal dari bahasa Sanskrit iaitu 'vant'. Pada zaman dahulu, seseorang dipanggil bangsawan jika dia keturunan dari keluarga diraja. Teater bangsawan mendapat nama kerana ia sering menggambarkan legenda dan kisah para bangsawan Melayu yang berlaku di istana.

Saya berkesempatan menyaksikan sebuah pementasan bangsawan berjudul DEWA KENCANA yang berlangsung dari 15 hingga 17 September 2017 di Auditorium DBKL. Bangsawan ini diadakan sempena program Semarak Bangsawan yang dianjurkan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Bangsawan ini juga dipentaskan bagi mengisi slot acara Diversecity KL International Arts Festival 2017 yang berlangsung dari 31 Ogos hingga 1 October 2017.

Antara pelakon yang membintangi bangsawan Dewa Kencana ini adalah Dato' Jalaluddin Hassan (Manong Satria), Mubarak Majid (Wangsa Jati), Zack KOOL (Kiabang Indera), Nazri Ahmad (Raja Demara Muazar), Razi Adnan (Dadang), Dayang (Kencana), Pangiran Syah (Dewa) dan ramai lagi. Bangsawan ini telah diarahkan oleh Tuan Haji Kamarul AR yang turut menulis skrip bagi pementasan ini.

















Menurut Tuan Haji Kamarul AR dari Kumpulan Teater Hidayah, pementasan bangsawan ini diharap dapat dijadikan media persembahan akrab dengan teras serta nilai patriotik yang boleh menggarap unsur kemasyarakatan terutamanya kekeluargaan sekaligus dapat memenuhi kepeluan sosio budaya, sosio ekonomi, sosio integrasi malah sosio intelektual yang majmuk dan berkesan. Memandangkan budaya teater adalah untuk kemanusiaan, ia diharap dapat menembusi dimensi penonton untuk menerima sebarang mesej yang ingin disampaikan.








Saya cukup terhibur dengan pementasan bangsawan Dewa Kencana ini. Ia berjaya mengimbau kembali sejarah dan zaman dahulu kala yang saya percaya semakin dilupai oleh generasi masakini. Penuh nostalgia dan klasik dengan penggunaan bahasa lama, deklamai sajak dan puisi, dendangan lagu-lagu klasik ternyata memberi satu impak berbeza. Tahniah kepada Kumpulan Teater Hidayah kerana menganjurkan pementasan sebegini. Kredit juga kepada pihak Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negara kerana tidak putus-putus memperjuangkan seni bangsawan.

Jika anda berminat untuk menyaksikan sebarang pementasan bangsawan yang dijalankan menerusi Program Semarak Bangsawan 2017, sila layari www.jkkn.gov.my atau www.dbkl.gov.my bagi mendapatkan maklumat lanjut.





SINOPSIS BANGSAWAN DEWA KENCANA
Soal perebutan kuasa berlaku di bumi Selendang Mahkota telah menyebabkan Raja Demara Muazar dibunuh oleh Kiabang Indera. Sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir, raja Demara Muazar sempat mengamanatkan kepada anaknya, Kencana Demara untuk kembali ke takhta bumi Selendang Mahkota yang dirampas oleh Raja Kiabang Indera. Masa berlalu, walaupun dalam masa tiga hingga enam purnama Raja Kiabang Indera dilihat hanya pintar "umpama Ada Udang Disebalik Batu" mengepalai kuasa dengan cara yang sangat halus menjadikan rakyat Selendang Mahkota dalam keadaan porak peranda sekaligus penduduknya berpuak-puak. Dalam pada itu, Kencana Demara telah berupaya menyempurnakan ilmu persilatannya dengan Wangsa Jati.

Akhirnya, Kencana adalah pewaris Raja Selendang Mahkota tetapi lain pula yang terjadi. Pokoknya, berapa ramaikah agaknya manusia yang menolak kedudukan sedangkan kedudukan sudah didepan mata. Timbulkah kelaziman, ada manusia yang sedia mengorbankan cinta dan kasih sayang demi bangsa dan nusanya. Layakkan Dewa Kencana? Dewa dan Kencana adalah pasangan insan yang menantikan saat kebahagian tetapi pada Kencana ada yang lebih bermakna.

#REEFISM #REEFISMTERRITORY #BANGSAWANDEWAKENCANA #TEATER #BANGSAWAN 

0 comments:

FOODIE

View my food journey on Zomato!
Powered by Blogger.