MENARA KUALA LUMPUR DAN MENARA ALOR SETAR TAWAR PROMOSI WE ARE FREE - MASUK PERCUMA SEPANJANG JULAI 2020!






Berita baik! Sejak pengumuman Perdana Menteri Malaysia berkenaan pembukaan sektor pelancongan secara berperingkat, banyak tarikan pelancongan domestik sudah mula beroperasi kembali. Sudah pasti ia berita yang cukup menggembirakan kerana semua sedia maklum sejak Perintah Kawalan Pergerakan pada 18 Mac 2020 yang lalu, semua sektor terjejas teruk. Jadi dengan kebenaran pembukaan sektor pelancongan dengan syarat pematuhan SOP, ini sedikit sebanyak menggembirakan pemain industri dan tidak dilupa rakyat Malaysia kerana kini anda semua boleh bercuti dan melawati destinasi pelancongan dalam negara.

Antara tarikan pelancongan yang sudah beroperasi kembali adalah Menara Kuala Lumpur yang merupakan menara telekomunikasi tertinggi di Asia Tenggara dan ketujuh tertinggi di dunia. Selain itu, tarikan-tarikan lain di bawah pengurusan Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd iaitu Menara Alor Setar Kedah, Muzium Telekom Kuala Lumpur dan Muzium Telegraf Taiping juga kembali dibuka kepada umum.

Bagi meraikan pembukaan semula Menara Kuala Lumpur dan Menara Alor Setar, promosi We Are Free – Masuk Percuma ditawarkan kepada pengunjung sepanjang bulan Julai ini. Majlis pelancaran We Are Free – Masuk Percuma telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, YB Datuk Dr. Jeffrey G. Kitingan bersama-sama Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd, Puan Ainol Shaharina Binti Sahar baru-baru ini.







Jelas Puan Ainol Shaharina, inisiatif ini bertujuan menarik semula kedatangan para pengunjung ke Menara Kuala Lumpur dan Menara Alor Setar secara khasnya dengan menawarkan kemasukan PERCUMA ke pelantar pemandangan tertutup bermula 1 Julai hingga 31 Julai 2020.

PUAN AINOL SHAHARINA BINTI SAHAR, KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF MENARA KUALA LUMPUR SDN BHD 

Menurut YB Datuk Dr. Jeffrey G. Kitingan, inisiatif dari Menara Kuala Lumpur dan Menara Alor Setar dalam penganjuran Promosi “We Are Free” selama sebulan ini iaitu mulai 1 Julai hingga 31 Julai ini, amat tepat pada masanya selaras dengan Pengumuman Yang Amat Berhormat Perdana Menteri yang membenarkan pelancongan domestik dalam fasa penjanaan semula ekonomi negara dan tiada lagi sekatan rentas negeri. Keunikan tarikan-tarikan yang ada di Menara Kuala Lumpur dan Menara Alor Setar serta pakej-pakej yang menarik dan percuma seperti ini dapat memberi peluang dan menggalakkan lebih ramai warga Malaysia untuk berkunjung ke sini.

YB DATUK DR. JEFFREY G. KITINGAN, TIMBALAN MENTERI PELANCONGAN, SENI DAN BUDAYA MALAYSIA

Kemasukan percuma adalah untuk tiket pelantar pemandangan tertutup (observation deck) sahaja manakala jika anda berhasrat untuk naik ke pelantar lebih tinggi iaitu Sky Deck yang berketinggian 300 meter, diskaun sebanyak 50% ditawarkan buat anda. Tawaran ini sah untuk semua warganegara Malaysia dan bukan warganegara yang mempunyai permit/pas bekerja yang sah di Malaysia.

Menara Kuala Lumpur dan Menara Alor Setar mengamalkan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi membateras penularan COVID-19 antaranya penjarakan sosial, penyediaan cecair sanitasi tangan, merekod suhu badan pengunjung, kesan kontak, memakai pelitup muka. Sanitasi penuh diseluruh premis juga dijalankan serta pembersihan secara berkala dibuat setiap 45 minit setiap hari bagi memastikan kebersihan terjamin.








Jangan lepaskan peluang dengan berkunjung ke Menara Kuala Lumpur dan Menara Alor Setar sepanjang Julai 2020 ini sempena promosi We Are Free – Masuk Percuma! Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Menara Kuala Lumpur di talian 03-20205499 atau layari www.menarakl.com.my manakala bagi Menara Alor Setar di talian 04-7202901 atau layari www.menaraalorsetar.com.my .



#REEFISM #REEFISMTERRITORY #MENARAKL #MENARAALORSETAR #CUTICUTIMALAYSIA

0 Comments