PELANCARAN PAKEJ CUTI-CUTI MALAYSIA BUAT PENJAWAT AWAM ANJURAN BERSAMA TOURISM MALAYSIA, KESATUAN PEKERJA-PEKERJA LPPM DAN CUEPACS






Berita baik buat penjawat awam negara! Tourism Malaysia dengan kerjasama Kesatuan Pekerja-Pekerja Lembaga Penggalakkan Pelancongan Malaysia (Kesatuan Pekerja-Pekerja LPPM) dan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) telah melancarkan pakej istimewa Cuti-Cuti Malaysia khas buat anda. Pakej Cuti-Cuti Malaysia buat penjawat awam ini merupakan inisiatif jangka masa pendek dalam usaha meningkatkan industri pelancongan domestik sewaktu negara masih berada dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Majlis pelancaran ini telah disempurnakan oleh YB Dato' Sri Hajah Nancy binti Shukri, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) di MaTiC, Kuala Lumpur baru-baru ini.

YB DATO' SRI HAJAH NANCY BINTI SHUKRI, MENTERI PELANCONGAN, SENI DAN BUDAYA MALAYSIA





Dalam ucapan beliau, Pakej Istimewa Cuti-Cuti Malaysia buat penjawat awam ini ditawarkan sebagai tanda penghargaan kepada anggota perkhidmatan awam yang telah mencurah khidmat bakti ketika negara sedang bergelut dengan pandemik Covid-19. Beliau turut memuji kecekapan penjawat awam khasnya para barisan hadapan (frontliners) dalam melaksanakan tanggungjawab dalam memerangi Covid-19 sehingga Malaysia diiktiraf sebagai antara lima negara terbaik di dunia dengan penerimaan rakyat yang tertinggi dalam mengawal pandemik Covid-19 ini.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran YBrs. Encik Mohd Zamri bin Mat Zain, Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, YBhg. Datuk Musa bin Yusof, Ketua Pengarah Tourism Malaysia, YBrs. Encik Adnan bin Mat, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan (CUEPACS), YBrs. Encik Alwi Shakir bin Abdullah, Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia, tetamu kehormat lain dan para media.

ACARA PEMBUKAAN MERIAH!

YBHG. ENCIK ALWI SHAKIR ABDULLAH, PRESIDEN KESATUAN PEKERJA-PEKERJA LPPM

YBHG. TUAN ADNAN MAT, PRESIDEN CUEPACS

BERSAMA DEF-DEF KEHORMAT

SESI PENYAMPAIAN PENGHARGAAN
 
JOM CUTI-CUTI MALAYSIA





YB Dato' Sri Hajah Nancy turut menjelaskan bahawa kempen Pakej Cuti-Cuti Malaysia buat penjawat awam ini berperanan sebagai iklan acah (teaser) yang diusahakan oleh MOTAC melalui Tourism Malaysia sebagai langkah menggalakkan penjawat awam melancong dalam negara. Malah beliau juga berharap agar ahli Cuepacs dapat menjadi duta kecil pelancongan dan seterusnya menyakinkan orang ramai Malaysia adalah destinasi selamat untuk dilawati walaupun dalam norma baharu.

Kerjasama dengan CUEPACS dilihat platform terbaik untuk mendekati kumpulan sasaran memandangkan kongres ini merupakan gabungan kesatuan yang mewakili penjawat awam di Malaysia dengan keahlian seramai 1.2 juta orang daripada keseluruhan 1.6 juta penjawat awam merangkumi pelbagai agensi dan sektor kerajaan.

Buat masa ini, Pakej Cuti Istimewa buat penjawat awam di seluruh negara hanya tertumpu kepada produk pelancongan dalam kawasan Lembah Klang sahaja. Pakej istimewa ini merangkumi pakej percutian yang dikelola oleh agensi pelancongan berlesen, promosi harga diskaun bilik hotel dan juga beberapa produk pelancongan di Lembah Klang. Antara produk pelancongan yang menawarkan diskaun menarik adalah Sunway Lagoon, Aquaria KLCC, Kidzania, Bangi Wonderland dan banyak lagi. Para pembeli juga ditawarkan nilai tambahan termasuk 5 ribu tiket lawatan di dalam Kuala Lumpur menerusi bas Hop On Hop Off secara PERCUMA.

MALINDO AIR TURUT MELANCARKAN PROMOSI TAMBANG MURAH






Tempoh tempahan pakej istimewa buat penjawat awam ini bermula sekarang sehingga 31 September 2020 dan tempoh sah lawatan adalah sehingga 31 Disember 2020. Jadi kepada penjawat awam semua, anda digalakkan untuk merebut peluang keemasan ini kerana kerajaan juga telah mengumumkan pengecualian cukai pendapatan individu sehingga RM1000 untuk perbelanjaan pelancongan domestik sehingga 31 Disember 2021 menerusi pakej rangsangan PENJANA.

DAPATKAN INFO DI LAMAN RASMI TOURISM MALAYSIA





Penjawat awam boleh mendapatkan pakej-pakej istimewa ini dengan hanya menggunakan pas pekerja penjawat awam sebagai bukti di mana-mana agensi pelancongan terpilih, hotel dan produk pelancongan yang mengambil bahagian. Informasi lanjut berkenaan senarai penuh produk dan pakej istimewa boleh didapati di laman sesawang rasmi Tourism Malaysia www.malaysia.travel .


#REEFISM #REEFISMTERRITORY #PAKEJCUTIPENJAWATAWAM #CUTICUTIMALAYSIA



0 Comments