PERSEMBAHAN TARIAN ETNIK SABAH TITIK MENGALAI SEMPENA PANGGUNG SENI TRADISIONAL 2019






Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) di bawah Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya Malaysia dengan kerjasama Pusat Pelancongan Malaysia (MaTIC) sekali lagi menganjurkan program Panggung Seni Tradisional pada tahun 2019. Program ini dianjurkan sebagai langkah pemuliharaan dan pengekalan seni warisan serta memartabatkan seni budaya negara ke peringkat tertinggi.

Edisi kalender Panggung Seni Tradisional 2019 dimulakan dengan membawakan seni tarian etnik Sabah menerusi persembahan Titik Mengalai. Persembahan ini dibawakan oleh Kumpulan Anak Seni Sabah, Kuala Lumpur (KASSA). Kumpulan ini merupakan sebuah kumpulan anak negeri yang cukup aktif sejak tahun 2015. Persembahan Titik Mengalai ini terbahagi mengikut segmen tarian dan dibawakan dalam bentuk penceritaan dua rakan menyaksikan sebuah majlis perkahwinan.










Titik Mengalai yang dipentaskan pada 15 Mac sehingga 17 Mac 2019 ini adalah salah satu tarian etnik negeri Sabah yang cukup terkenal dengan panggilan "negeri dibawah bayu". Titik adalah alat muzik genderang tradisional Sabah manakala Mengalai membawa maksud menari. Titik Mengalai mengetengahkan 11 jenis tarian etnik Sabah antaranya Berunsai, Sumazau, Dansa Cocos.


ISUN-ISUN


Satu genre tarian yang dipelihara oleh suku kaum Bajau di Sabah. Nyanyian tradisi ini dinyanyikan secara berpasangan dimana seorang perempuan akan menggesek biola manakala seorang lelaki akan menyanyi seperti berbalas pantun.


TARIAN KUDA PASU



Tarian ini diinspirasikan dari kuda dan juga dikenali sebagai kuda proselin. Dalam tarian ini, tangan penari lelaki sedikit tinggi bersudut daripada tarian Limbai, membongkok siku dan pergelangan tangan dengan dengan tapak tangan yang rata. Bahagian belakang pergelangan tangan salah satu lengan diletakkan di pinggul sementara yang lain dipegang di sekitar bahu.


BERUNSAI



Runsai selalu ditarikan di majlis perkahwinan pada sebelah malam. Tarian ini memerlukan antara enam hingga lapan orang penari termasuk dua orang wanita. Tarian ini menjadi bertambah meriah apabila diserikan dengan berbalas pantun dua kerat.


KADANDIU



Tarian ini berkisahkan daripada legenda batu tinagat iaitu tentang aki bentawol dan dayang dadalit. Biasanya ia ditarikan oleh tujuh orang wanita sahaja.


ZAPIN TIDONG ULU


Tarian zapin ini adalah sebuah tarian yang dipersembahkan dalam istana. Ia ditarikan oleh kaum Tidung dengan mengenakan busana baju Melayu teluk belanga.


GEBILUK


Tarian asli daripada etnik Idahan, Lahad Datu.


DANSA COCOS



Tarian yang paling popular dalam kalangan etnik Cocos. Dansa Cocos asalnya dibawa oleh anak-anak kapal dagang Inggeris yang diketuai oleh Alexander Hare yang berlayar buat pertama kali ke Kepulauan Cocos pada tahun 1826.


PANGALAY HA AGONG



Tarian ini merupakan antara tarian tradisi masyarakat suku kaum Suluk di daerah Sandakan. Dalam bahasa Suluk, Pangalay atau alay bermaksud rai yakni meraikan tetamu.


BOLAK-BOLAK



Tarian ini dipersembahan oleh kaum wanita dan lelaki yang memakai pakaian tradisional berwarna-warni. Sambil menari, mereka akan membunyikan potongan kayu yang digenggam seiring dengan muzik kulintangan (iringan).


IGAL-IGAL



Salah satu tarian tradisi popular dari suku kaum Bajau terutamanya di daerah Semporna. Perkataan Igal dikatakan diambil daripada perkataan eagle yang bermaksud burung helang. Oleh itu, gerakan tarian ini hampir sama dengan gerakan helang yang sedang terbang.


ANGGALANG MAGUNATIP





Sejenis tarian tradisi suku kaum Murut di pedalaman Sabah. Magunatip diambil daripada perkataan atip yang membawa maksud menekan antara dua permukaan. Penari tarian ini memerlukan kemahiran untuk menari melintasi buluh yang dipukul serentak untuk menghasilkan bunyi dan irama tarian tersebut.


RHYTHM OF SABAH



SUMAZAU (FINALE)
Antara tarian tradisi yang cukup popular dari Sabah. Tarian daripada suku kaum Kadazan Dusun ini sering ditarikan semasa perayaan musim menuai setiap bulan Mei oleh para petani sambi menyarung pakaian tradisi.






Sebagai info, program Panggung Seni Tradisional mula dilaksanakan sejak tahun 2013 dimana ia mementaskan 36 kesenian tradisional yang merangkumi tiga genre iaitu TARI, MUZIK dan TEATER. Ia menerima penglibatan 69 kumpulan kesenian, 1649 orang peserta daripada pelbagai sektor.

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) sentiasa komited dan berusaha untuk memartabatkan keseniaan tradisi dibawah program Panggung Seni Tradisional. JKKN sentiasa mengalu-alukan sokongan daripada pelbagai agensi dan syarikat korporat dalam mendukung kelestarian seni budaya bangsa.

Layari laman sesawang rasmi atau laman media sosial rasmi JKKN untuk mendapatkan informasi terkini serta jadual aktiviti yang dianjurkan sepanjang tahun.


LAMAN SESAWANG RASMI

LAMAN FACEBOOK RASMI

LAMAN INSTAGRAM RASMI


#REEFISM #REEFISMTERRITORY #JKKN #MYSENIBUDAYA

0 Comments