KONSERT VM2020 WARNAI KALENDAR SENI ISTANA BUDAYA, SEMARAK VISIT MALAYSIA 2020







Tahun 2020 pastinya dinantikan oleh setiap pemain industri pelancongan Malaysia kerana tahun ini merupakan kempen Visit Malaysia 2020. Malaysia mensasarkan kedatangan 30 juta pelancong luar dengan hasil pendapatan pelancongan sebanyak RM100 bilion sempena kempen ini dan bagi merancakkan lagi sambutan, pelbagai perayaan dan acara menarik buat para pelancong sepanjang tahun telah disusun kemas. Malah agensi kerajaan dan badan korporat berkaitan giat menyusun aturcara sebagai tanda sokongan kepada kempen Visit Malaysia 2020. Antaranya adalah Istana Budaya, pentas persembahan seni bertaraf dunia.

Semarak tirai tahun baru, Istana Budaya dengan kerjasama agensi dibawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) telah menganjurkan Konsert VM2020 bertempat di Panggung Sari Istana Budaya. Penganjuran Konsert VM2020 adalah bagi merancakkan rangka promosi untuk menggalakkan kedatangan pelancong tempatan dan antarabangsa ke Malaysia selain memberi hebahan kepada jadual kalendar seni Istana Budaya sepanjang tahun 2020. Hadir sama memeriahkan majlis gilang gemilang adalah YB Tuan Muhammad Bakhtiar bin Wan Chik, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia yang turut merasmikan malam konsert tersebut.

GIMIK PERASMIAN KONSERT VM2020 DISEMPURNAKAN OLEH YB TUAN MUHAMMAD BAKHTIAR WAN CHIK





Malam konsert VM2020 dibuka dengan persembahan Silat Melayu bersama alunan lagu Tari Tualang Tiga oleh Asmidar diiringi oleh Orkestra Simfoni Kebangsaan dan Artis Tari Istana Budaya. Seterusnya Kumpulan Kesenian JKKN & Kumpulan Genius Seni Tari memukau penonton dengan persembahan Fiesta Rakyat. Seterusnya, Raja Pop Malaysia iaitu Dato’ Jamal Abdillah “merampas’ pentas dengan dendangan lagu Gadis Melayu dengan iringan OTM dan Artis Tari Istana Budaya.

 

   







Persembahan pada malam itu dimeriahkan lagi dengan barisan penghibur baru dan malam menerusi variasi genre muzik antaranya Dato’ Jeffydin, Noraniza Idris, Syamel, Ernie Zakri, Roger, Dato’ Yusni Hamid dan Dato’ Ramli Sarip. Tidak lengkap persembahan tanpa alunan lagu rasmi kempen Visit Malaysia 2020 yang dibawakan penuh tenaga dan warna-warni oleh penyanyi Idayu bersama iringan muzik Orkestra Simfoni Kebangsaan dan Artis Tari Istana Budaya.



 
 









Tahun ini, Istana Budaya telah mengumumkan senarai persembahan bagi mengisi kalendar program di pentas bertaraf dunia ini. Ia merangkumi 27 pementasan tempatan dan antarabangsa iaitu 8 adalah teater, 13 program muzik dan selebihnya adalah tari, anugerah dan festival. Pada masa sama, Istana Budaya masih menerima banyak permohonan kemasukan produk pementasan dari dalam dan luar negara untuk dipentaskan di sini.

YB Tuan Muhammad Bakhtiar berkata, harapan beliau agar suasana konsert VM2020 menjadi gambaran kepada orang ramai akan kemeriahan negara meraikan tahun 2020. Ujar beliau lagi, pengalaman berasaskan seni menjadi antara tarikan utama dalam industri pelancongan kerana konsep experiential tourism ini memberi peluang warga pelancong untuk merasai dan menikmati keindahan seni tempatan. Pada masa sama, pendekatan sebegini juga dapat menzahirkan ‘Malaysia Hospitaliy’ kepada para pelancong. Sebagai info, Malaysia bakal menjadi tuan rumah untuk beberapa acara besar dunia antaranya Persidangan APEC, Kuala Lumpur World Book Capital 2020 (KLWBC 2020) dan KL Biennale 2020.



Anda boleh mendapatkan informasi tentang persembahan tahunan di Istana Budaya dengan melayari laman media sosial rasmi atau laman sesawang di http://www.istanabudaya.gov.my !


#REEFISM #REEFISMTERRITORY #ISTANABUDAYA #VM2020

0 Comments