KONSERT INSPIRASI AFGAN LIVE DI KUALA LUMPUR 2019 LAKAR MOMEN TERINDAH BUAT PEMINAT DI MALAYSIA!






Sukar disangkal aura penama Afgansyah Reza. Tetap berbisa dan menyengat! Saat beliau muncul dipentas Konsert Inspirasi Afgan Live Di Kuala Lumpur 2019, seluruh dewan gamat dengan jeritan seperti terkena histeria. Hebat penangan penghibur Asia Tenggara yang satu ini sehingga dikhabarkan tiket habis dijual! Semua sedia maklum bahawa ini merupakan konsert Afgan yang terakhir sebelum beliau berehat panjang untuk menumpukan kepada karya baru. Pastinya peminat di Malaysia mahu mengabadikan momen indah bersama kerana selepas ini tidak diketahui bila pula Afgan akan beraksi di pentas berskala besar.







Konsert yang berlangsung di HGH Convention Centre ini dimulakan dengan persembahan pembukaan oleh kumpulan Arjuna yang mendendangkan penonton dengan seleksi lagu hits seperti Kenangan Terindah, Mungkin Nanti, Kekasih Gelapku, Januari, Peri Cintaku dan Hapus Aku. Mana mungkin penonton akan berdiam diri kerana kesemua lagu yang dibawakan adalah antara lagu Indonesia yang berjaya mencuri pendengar Malaysia. Malam itu, pelbagai kejutan tercetus antaranya salah seorang peminat yang hadir diberi peluang mempersembahkan lagu Januari bersama kumpulan Arjuna. Ternyata peluang itu tidak disiakan kerana seluruh isi dewan terhibur dengan kelunakan suara si penonton paling bertuah malam itu. Kredit harus diberikan kepada konsert pada malam itu iaitu Fiza Frizzy kerana bejaya mengemudi acara malam itu dengan baik sekali. Satu dewan ketawa tebahak-bahak dengan keletah beliau.








Usai kumpulan Arjuna membuat persembahan, Afgan terus melangkah masuk ke pentas membawakan lagu Jalan Terus. Histeria sekali lagi satu dewan. Sebanyak 16 lagu telah dibawakan beliau pada malam itu yang rata-rata adalah lagu paling popular dari Afgan. Cuma sedikit ralat kerana lagu Jodoh Pasti Bertemu tidak berada dalam senarai lagu pada malam itu. 









Pastinya konsert kali ini memberi seribu makna kerana akhirnya idola Afgan, Dato’ Sheila Majid sudi turun padang bersama-sama memeriahkan konsert ini dengan membawakan dua lagu duet iaitu lagu “Bawalah Cinta” dan “Begitulah Cinta”. Kolaborasi kedua-dua penyanyi terkemuka ini berjaya mencipta magis tersendiri dan penonton seakan dibuai perasaan tatkala mendengar nyanyian tersebut. Dato Shiela Majid turut menghadiahkan penonton dengan dendangan dua lagu solo beliau iaitu Antara Anyer dan Jakarta serta lagu hits sepanjang zaman, Sinaran.







Cuba memberi kelainan dalam persembahan konsert kali ini, Afgan membawakan tema Inspirasi pada konsert kali ini dengan harapan agar peminat beliau dapat rasa suntikan semangat untuk terus berusaha dan mengejar impian. Bertepatan dengan tema ini, impian Afgan untuk membuat persembahan bersama idola beliau di konsert di Kuala Lumpur kini tercapai.

Pada masa sama, Ketua Pegawai Eksekutif Popcorn Studio Sdn Bhd, Encik Erik Ong berkata beliau berpuas hati dengan sambutan peminat terhadap konsert ini. Pastinya ia memberi suntikan semangat buat Popcorn Studio Sdn Bhd untuk terus membawa dan menganjurkan persembahan yang lebih baik dan bertaraf antarabangsa.

Popcorn Studio Sdn Bhd juga telah menganjurkan tiga peraduan menerusi media sosial buat peminat setia Afgan iaitu “Tag & Win” (2 tiket VIP), Smule “Bintang Inspirasi” (2 tiket Gold dan berpeluang bertemu Afgan) dan “Tag & Share” (2 tiket Silver) dan sambutan yang diterima amat menggalakkan. Di lokasi konsert, peminat yang hadir turut disediakan pilihan makanan dan minuman sementara menantikan konsert bermula. Paling istimewa menu Inspirasi Durian Cendol daripada Durian King TTDI. Popcorn Studio Sdn Bhd, konsert ini turut mendapat tajaan dan kerjasama dari HGH Convention Centre, Durian King TTDI, Ganad, Redbox dan Greenbox. 






Konsert Inspirasi Afgan Live di Kuala Lumpur 2019 ternyata melakar momen paling indah terutamanya kolaborasi beliau bersama Dato’ Shiela Majid menjadi kenyataan dan amat dinantikan para peminat muzik di Malaysia, Indonesia dan Brunei. Kepada Afgan, semoga terus sukses dalam menghasilkan karya baru di Amerika Syarikat dan dipermudahkan segala impian dan cita-cita!


#REEFISM #REEFISMTERRITORY #AFGAN #INSPIRASI2019

0 Comments