WEEKEND GETAWAY DI FOUR SEASONS KUALA LUMPUR, HOTEL KETIGA TERTINGGI DI DUNIA


Bagi anda yang mengikuti rutin kehidupan saya di blog atau di media sosial pasti sedia maklum akan aktiviti #HotelHunting yang saya lakukan setiap bulan. Sebenarnya, tujuan asal bukanlah untuk menerjah dan membuat rebiu hotel namun ia lebih kepada aktiviti percutian hujung minggu dan alternatif kepada aktiviti kembara yang sering saya lakukan sebelum ini. Memandangkan tahun 2018 saya kurang keluar negara, jadi saya isikan dengan aktiviti menginap di hotel untuk merehatkan diri dari kesibukan kerja. Secara tidak langsung, saya dapat memberi ulasan peribadi dan berkongsi pengalaman bersama pembaca yang mungkin berniat untuk menginap di hotel sama.

Edisi Hotel Hunting kali ini, saya berkesempatan untuk menginap di salah sebuah hotel mewah di Kuala Lumpur yang baru sahaja dibuka iaitu Four Seasons Kuala Lumpur. Kenapa memilih Four Seasons Kuala Lumpur untuk weekend getaway kali ini? Saya ingin menjadi yang terawal merasai pengalaman menginap di hotel bertaraf elit ini. Bentuk bangunan bak kristal dan berada disebelah bangunan berkembar tertinggi di dunia, Menara Berkembar Petronas KLCC menjadi alasan kuat untuk memilih hotel ini sebagai penginapan hujung minggu saya. Kebetulan pula, pihak hotel menawarkan potongan harga sempena pembukaan rasmi. Jadi saya tidak mahu melepaskan peluang keemasan ini.











Hotel Four Seasons Kuala Lumpur yang berada dalam kawasan segitiga emas KL ini mempunyai 65 tingkat dan menawarkan 209 bilik dan suite. Malah bangunan ini turut berkongsi bangunan bersama penghuni kediaman di Four Seasons Place Kuala Lumpur dan turut mempunyai gedung membeli belah terkemuka, Robinsons di aras bawah. Sebagai informasi, hotel Four Seasons Kuala Lumpur berketinggian 343 meter (1125 kaki) dan ini menjadikan ia hotel ketiga tertinggi di dunia dan bangunan pencakar langit kedua tertinggi di Malaysia selepas Menara Berkembar Petronas.

Saya memilih untuk menginap di bilik jenis City-View Room. Selesai urusan daftar masuk di kaunter lobi yang berada di aras 6B, saya terus menuju ke bilik. Saat pintu bilik dibuka, saya cukup teruja melihat hiasan dalaman dan keluasan bilik ini. Bilik City-View Room ini berkeluasan hampir 600 kaki persegi (55 meter persegi). Perkara pertama yang saya akan lakukan saat masuk ke dalam kamar hotel adalah merasai keempukan tilam dan bantal serta melihat ruang bilik air. Saya boleh memberi bintang penuh untuk tilam, bantal dan kamar mandi kerana ia berjaya memukau saya.


























Pada sebelah petang, saya sempat mencuci mata di pusat membeli belah Robinsons dan singgah sebentar di Isetan KLCC yang berjarak kurang 300 meter sahaja dari hotel ini. Aktiviti malam saya sekadar lepak santai di bilik untuk benar-benar menikmati percutian di kamar mewah hotel Four Seasons Kuala Lumpur.

Seperti biasa, tidak lengkap percutian di hotel tanpa menikmati sarapan pagi di restoran hotel bukan! Untuk pengetahuan semua, Four Seasons Kuala Lumpur mempunyai 6 restoran dan lounge dibawah satu bumbung iaitu Yun House yang berkonsepkan makanan Kantonis moden, Bar Trigano, The Lounge yang khusus kepada light refreshment, Pool Bar & Grill yang terletak di tepi kolam renang dan mengetengahkan masakan Timur Tengah, kafe Decadent by Four Seasons yang menjual pastri dan restoran Curate yang meyajikan masakan dari seluruh dunia. Saya menikmati sarapan pagi di restoran Curate.





























Nak dijadikan cerita, semasa mencari meja, kami dibantu oleh seorang pekerja restoran ini. Saya terdiam seketika kerana wajah pekerja ini seperti pernah dilihat sebelum ini. Bila diselidik, rupa-rupanya beliau pernah melayani kami di salah sebuah restoran hotel terkemuka sebelum ini. What a small world! Masing-masing ketawa kecil bila mengenang kembali momen itu. Thanks Iqah di atas layanan kelas pertama anda! Berbalik kepada restoran Curate ini. Pada pendapat saya, seleksi menu sarapan disini tidak banyak jika dibandingkan dengan beberapa hotel yang pernah saya kunjungi sebelum ini tetapi kualiti rasa yang disajikan di Curate menepati piawaian saya. Saya suka Nasi Lemak disini kerana ia mengingatkan saya kepada keenakkan Nasi Lemak di St. Regis KL. Dekorasi restoran Curate ini tidak perlu dipertikaikan lagi. Simple tapi tampak mewah!

Saya sempat juga meninjau kemudahan lain yang terdapat di hotel Four Seasons Kuala Lumpur ini seperti kolam renang, spa dan gimnasium.




















Secara peribadi, saya benar-benar seronok dapat menikmati hujung minggu saya di hotel Four Seasons Kuala Lumpur. Bilik yang super selesa, makanan yang enak di Curate, warga hotel yang ramah terutamanya Iqah dari restoran Curate, lokasi hotel yang strategik. Pendek kata, kualiti perkhidmatan yang ditawarkan oleh hotel ini terbaik. Malah hotel Four Seasons Kuala Lumpur memberi gambaran gaya hidup moden, urban dan terkini warga kota. Berbaloi dengan harga yang dibayar! Jika ditanya saya adakah saya akan kembali lagi ke hotel Four Seasons Kuala Lumpur? Jawapannya YA! Pasti kembali! 


LOKASI HOTEL FOUR SEASONS KUALA LUMPUR 
145, JALAN AMPANG, 
KUALA LUMPUR, 50450 KUALA LUMPUR. 


TELEFON: 03-2382 8888 


LAMAN WEB RASMI 

LAMAN FACEBOOK RASMI 

LAMAN INSTAGRAM RASMI 



#REEFISM #REEFISMTERRITORRY #FSKUALALUMPUR #FSKLNEWHEIGHTOFLUXURY

2 Comments

  1. Bestnya dapay stay dekat four seasons kl!

    ReplyDelete