KONSERT INSPIRASI AFGAN LIVE IN KUALA LUMPUR 2019 ADALAH KONSERT TERAKHIR SAYA - AFGAN






Beliau tidak memerlukan sebarang pengenalan. Penyanyi tersohor kelahiran Indonesia, Afgansyah Reza atau Afgan berjaya meletakkan namanya di aras tertinggi dalam dunia muzik nusantara. Siapa sangka bermula dengan naskhah Confession pada tahun 2008, kini beliau telah menjadikan jenama ‘Afgan’ sesuatu yang cukup bernilai. Setiap tahun, ada sahaja projek dan aktiviti seni memenuhi kalendar harian beliau sehinggakan ada yang tertanya-tanya bila masa beliau bercuti?





 
Bila beliau mengumumkan bahawa Konsert Inspirasi Afgan Live In Kuala Lumpur 2019 adalah konsertnya yang terakhir, ramai yang tersentak. Adakah beliau sekadar bergurau manja? Ternyata jawapan yang terbit di bibir beliau adalah benar. Kata beliau, sepanjang 11 tahun, perkataan istirehat tidak pernah ada dalam diari beliau. Jadi usai konsert di Malaysia, beliau ingin berehat dari radar seni hiburan. Namun katanya, beliau bukanlah mahu bersara terus dari bidang seni, cuma sekadar ingin menikmati masa untuk diri sendiri sambil mencari idea baru untuk muzik beliau di masa hadapan. Katanya lagi, selepas konsert ini selesai nanti, beliau akan kerap terbang ke Amerika Syarikat sambil mengintai peluang melebarkan sayap ke peringkat antarabangsa. Barangkali beliau akan berkolaborasi bersama Yuna yang terlebih dahulu menempa nama di sana? Sama-sama kita nantikan sekiranya ada perkhabaran positif dari beliau. 






Bicara soal Konsert Inspirasi Afgan Live In Kuala Lumpur yang akan berlangsung pada 5 Oktober nanti di HGH Convention Centre, tiket dikhabarkan sudah 75% terjual. Ini memberi petunjuk bahawa demand terhadap Afgan masih tinggi. Selepas kejayaan siri konsert Dekade di Malaysia tahun lalu, keputusan untuk kembali mengadakan konsert berskala besar pada tahun ini adalah tepat kerana konsert kali ini, beliau teruja untuk berkongsi pentas bersama idola beliau, Dato’ Sheila Majid. Peluang ini adalah ibarat bulan jatuh ke riba dan satu penghormatan bagi Afgan kerana beliau belum pernah berpeluang bergandingan dengan ratu jazz Malaysia dalam mana-mana konsert mega sebelum ini. Pastinya, konsert Inspirasi Afgan ini menjanjikan kelainan buat para peminat yang setia menjadi tulang belakang dalam perjalanan karier seni beliau. 






Konsert Inspirasi Afgan Live In Kuala Lumpur 2019 dianjurkan oleh Popcorn Studio Sdn Bhd serta mendapat tajaan dan kerjasama dari HGH Convention Centre, Durian King TTDI, Ganad, Redbox dan GreenBox. 







Anda masih belum terlambat untuk mendapatkan tiket konsert dengan melayari https://proticket.com.my/inspirasi2019-afganliveinkualalumpur . Tiket dijual pada harga RM299 (Silver), RM399 (Gold), RM599 (VIP) dan RM1200 (Royal Box). Pemegang tiket Royal Box turut menerima pas Meet & Greet dan minuman ringan sebelum konsert berlangsung. Jangan lepaskan untuk menyaksikan konsert terhebat tahun ini kerana gabungan dua nama besar dalam arena hiburan ini pasti keren bangat!


#REEFISM #REEFISMTERRITORY #INSPIRASIAFGAN2019 #AFGAN


0 Comments